08 December 2009

Chelsea mahu tebus kecewa



Chelsea mahu menggunakan aksi Liga Juara-Juara menentang Nicosia pagi esok untuk mengubat kekecewaan


Chelsea mahu menggunakan aksi Liga Juara-Juara menentang Nicosia pagi esok untuk mengubat kekecewaan selepas tewas kepada Manchester City, Sabtu lalu dalam saingan Liga Perdana England.

Chelsea berada di tangga teratas Kumpulan D ketika ini dan telah mengesahkan tempat beraksi ke pusingan kalah mati selepas mencatatkan empat kemenangan daripada lima perlawanan.

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mahukan pemainnya mencatat kemenangan pada perlawanan ini bagi memulihkan semula semangat mereka selepas kekalahan 1-2 kepada City.

"Kami perlu menang walaupun sudah berjaya layak ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara. Kemenangan akan membantu mengembalikan keyakinan.

"Dalam saingan liga, kami sedang berada di puncak dengan memiliki kelebihan dua mata di hadapan Manchester United," katanya.

Pada aksi esok, kapten John Terry bakal diketepikan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan menentang City, namun Ancelotti menjangkakan dia akan kembali beraksi menentang Everton pada Sabtu depan.

Ancelotti pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara ketika bersama kelab AC Milan pada tahun 2003 dan 2007 selain mara ke peringkat akhir pada tahun 2005.

Setakat ini Chelsea hanya bolos dua gol dalam lima perlawanan peringkat kumpulan dan rekod tersebut tetap mahu dipertahankan.

Walaupun aksi esok tidak begitu penting buat Chelsea tetapi membawa makna yang besar kepada lawan mereka itu.

Andai perlawanan ini berkesudahan seri, Nicosia berpeluang melangkah ke pusingan kalah mati sekiranya Porto menewas- kan Atletico Madrid dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D.

No comments: