05 December 2009

Zola masih mahukan Mario

Pengurus West Ham, Gianfranco Zola mengesahkan bahawa dia masih berminat mendapatkan pemain Inter Milan, Mario Balotelli.

Penyerang muda berbakat itu sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Inter setelah dilaporkan gagal meyakinkan Jose Mourinho yang dia layak berada dalam skuad utama Inter.

Namun dia tidak kekurangan peminat, dengan pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengakui yang beliau menggemari pemain itu, di samping kelab Arsenal dan Liverpool, yang telah menunjukkan minat mereka.

Zola telah cuba mendapatkan Balotelli semasa tempoh perpindahan pra-musim, musim panas lalu namun percubaanya gagal, dan kini masih tidak berputus asa membawa pemain kelahiran Itali itu, yang juga boleh bermain untuk Ghana dalam kejohanan Piala Dunia 2010 nanti.

"Sekiranya Inter sedia berunding berkenaan Mario, kami mengalu-alukannya," ujar Zola.

"Mario merupakan seorang pemain muda berpotensi, tetapi dia perlu matang, dan memahami yang dia perlu menunjukkan sifat yang betul,"

"Pastinya sekiranya dia meninggalkan Milan, pasti bukannya kami sahaja pihak yang bersedia menerimanya dengan hati terbuka," ujar Zola.

Balotelli sering tidak dimasukkan dalam skuad utama Inter, dalam perlawanan-perlawanan penting mereka, yang terkini sewaktu dia tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Fiorentina.

Peluangnya diturunkan dalam perlawanan menentang Juventus hujung minggu ini juga tampak suram.


No comments: